Thursday, March 31, 2011

Tujuh Pintu Neraka Jahannam

Neraka tempat penyiksaan yang sering disebut dengan nama Jahannam. Jahannam itu memiliki 7 pintu dan setiap pintu telah ditetapkan untuk golongan tertentu dari para makhluk-Nya. Sesetengah pendapat ulamak tafsir menyatakan 1 hari di akhirat adalah seperti seribu tahun di dunia. wallahua'lam.


Terdapat beberpa kitab yang memberikan gambaran kasar mengenai Neraka Jahannam ini:

Neraka Jahannam itu mempunyai 7 tingkat.
Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah.
Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung.
Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah.
Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik.
Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak.
Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum.
Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular.
Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai.
Di setiap rantai dipegang oleh 70,000 malaikat.

Tujuh Nama Pintu neraka yang disebutkan di dalam Al Qur'an adalah:
Neraka Jahiim
Neraka Hawiyah
Neraka Wail
Neraka Sa'iir
Neraka Ladhaa
Neraka Saqar
Neraka Hutomah


Riwayat dari Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail a.s. telah datang kepada Nabi s.a.w. pada waktu yang ia tidak pernah datang dalam keadaan berubah kerut di wajahnya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w.: ‘Mengapa aku melihat kau berubah muka?’ Jawabnya: ‘Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat ALLAH S.W.T. memerintah supaya dikhabarkan tentang nyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, siksa kubur itu benar, dan siksa ALLAH S.W.T. itu amat dahsyat untuk mereka bersuka-suka sebelum selamat daripadanya.'


Lalu Nabi s.a.w. bersabda: ‘Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam. Jawabnya: ‘Ya. Ketika ALLAH S.W.T. menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia menjadi hitam gelap, tidak pernah pula padam nyala dan baranya.


Demi ALLAH S.W.T. yang mengutus engkau dengan hak, seandainya terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat terbakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.
Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, seandainya satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panasnya.
Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, seandainya satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.
Demi ALLAH yang mengutus engkau dengan hak, seandainya seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya.


Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya daripada besi dan minumannya pula adalah air membuak-buak bercampur nanah dan pakaian ahlinya daripada api.


Nabi s.a.w. bertanya: ‘Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?’ Jawabnya: ‘Tidak, ia selalu terbuka, setengahnya di bawah yang lain, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.’ (maksudnya yang lebih bawah adalah lebih panas.)


Tanya Rasulullah s.a.w.: ‘Siapakah penduduk masing-masing pintu?’ Jawab Jibrail a.s.: Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun yang dinamakan sebagai Neraka Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Neraka Jahim. Pintu ketiga tempat orang-orang murtad bernama Neraka Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikut-pengikutnya dari kaum majusi bernama Neraka Ladha. Pintu kelima untuk orang-orang yahudi yang dinamakan Neraka Huthomah. Pintu ke enam tempat orang nasara yang bernama Sa’eir.’

Kemudian Jibrail diam sehingga ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: ‘Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?’ Jawabnya: ‘Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari kalangan ummatmu yang matinya sebelum sempat taubat diterima ALLAH S.W.T.’


Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail a.s. meletakkan kepala Nabi s.a.w. di atas pangkuannya sehingga kembali sedar. Dan sesudah sedar Nabi s.a.w. bersabda: ‘Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedih diriku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?’ Jawabnya: ‘Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari ummatmu.’


Kemudian Nabi s.a.w. menangis, dan Jibrail a.s. pun turut menangis. Kemudian Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali tanpa berbicara dengan sesiapa. Dan apabila Baginda solat, Baginda sering menangis dan memohon kepada ALLAH S.W.T. .(dipetik dari kitab ‘Peringatan Bagi Yang Lalai)


Pengajaran dari Hadith Qudsi ini: Bagaimana kita masih boleh berbuat maksiat sedangkan diri kita ini tidak mampu berdiri dan bertahan lama di bawah teriknya panas mentari dunia ALLAH S.W.T?