Thursday, April 14, 2011

DOA YANG DIMAKBUL

Selalu kita rasakan doa yang dipohon seolah-olah tidak diperkenankan oleh ALLAH SWt. Namun, adakah doa kita itu benar-benar ditolak?
Menurut sesetengah kitab, sebenarnya doa manusia yang mencukupi syarat telah pun diperkenankan oleh ALLAH SWT tetapi dalam tiga bentuk:
Diperkenankan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.
Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberi di hari akhirat.
Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya dari bala bencana, kesihatan dan sebagainya.
Daripada Abi Sa'id, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : "Tidak ada seorang pun muslim yang berdoa kepada ALLAH AZZA WA JALLA, dengan doa yang tidak berunsurkan maksiat atau memutuskan hubungan darah, melainkan diperkenankan oleh ALLAH SWT salah satu antara tiga: samada dipercepatkan doanya di dunia, atau disimpan untuknya di hari Akhirat, atau dihindari daripada dirinya satu keburukan seumpamanya".


Apabila para sahabat mendengar ucapan Baginda itu, mereka lantas berkata : "Kalau begitu Rasulullah, kita perlu banyakkan berdoa!". Kata Baginda : "Demi ALLAH, banyakkanlah berdoa". (Riwayat Ahmad)

Justeru, manusia selalu tidak menyedari, doanya telah diperkenankan oleh ALLAH SWT, tetapi dalam bentuk lain. Dia perlu meyakini apa yang ditentukan oleh ALLAH itulah yang terbaik untuk dirinya di dunia dan akhirat.


DOA YANG TIDAK MAKBUL


Dalam salah satu hadith dijelaskan bagaimana sifat dan bentuk doa yang diperkenankan ALLAH . Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Apabila kamu meminta kepada ALLAH bermohonlah dalam keadaan kamu yakin sepenuhnya akan dikabulkan Tuhan. ALLAH tidak memperkenankan doa seorang hamba yang hatinya lalai."


Seorang ulama sufi yang terkemuka iaitu Ibrahim Bin Adham yang hidup pada abad ke-lapan, pernah memberikan huraian tentang sebab-sebab doa seseorang tidak diperkenankan Tuhan. Tatkala berkunjung ke Basrah, beliau menerima pertanyaan dari sebahagian penduduk : "Kenapakah nasib kami masih belum berubah, pada hal kami selalu berdoa, sedangkan ALLAH menjanjikan dalam AL-Quran akan memperkenankan doa setiap orang yang bermohon?


Ibrahim Bin Adham memberikan jawapan bahawa sebab-sebabnya (10 sebab) adalah,
Pertama: Kamu tidak menunaikan hak ALLAH . Kamu kenal ALLAH tetapi tidak memenuhi hak-NYA. Hak ALLAH SWT yang paling utama ialah untuk disembah. Setiap orang wajib mensyukuri nikmat yang dilimpahkan ALLAH kepadanya dengan cara menyembah-NYA dengan sebenar-benar dalam erti ibadah. Bagaimanakah TUHAN akan memperkenankan doa seseorang hamba sekiranya TUHAN menyuruhnya untuk berjalan ke kanan tapi hamba-NYA memilih untuk berjalan ke kiri.
Kedua: Kamu tidak mengamalkan isi AL-Quran. Kamu sentiasa membaca AL-Quran tapi tidak kamu amalkan isi-isiNya. Kitab Suci AL-Quran sentiasa dibaca, dilagukan dengan bermacam-macam wajah tetapi isiNya tidak dipelajari dan dihayati. Kalau pun ada satu dua ayat yang dapat difaham, namun tidak pula diamal malah kadang-kadang dengan sengaja dilanggar.
Ketiga: Kamu tidak mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Kamu selalu mendakwa cinta kepada Rasulullah s.a.w. tapi kamu tinggalkan sunnahNya. Rasulullah s.a.w. menunjukkan jalan yang lurus tapi tidak sedikit manusia yang memilih jalan yang bengkok. Kadang-kadang ada juga yang katanya mengikuti Sunnah Rasul tapi apa yang dikerjakannya itu bertentangan dengan apa yang dilakukan atau digariskan oleh Rasulullah s.a.w., masih lagi mengikuti perkara-perkara khurafat yang bukan dari AL-Quran atau As-Sunnah yang sahih.
Keempat: Kamu patuh kepada syaitan. Kamu sentiasa menyatakan bermusuh dengan syaitan tapi kamu patuhi dia. Syaitan itu adalah musuh manusia yang selalu berusaha menjatuhkan anak Adam ke lembah kehinaan dengan jalan mempengaruhi nafsu manusia yang jelek. Dalam pergaulan hidup sehari-hari kebanyakkan manusia berlutut kepada syaitan dengan memperturutkan hawa nafsu yang buruk. Seharusnya manusialah yang menguasai nafsunya dan dengan sikapnya itu dia akan berjaya mengalahkan godaan syaitan.
Kelima: Kamu menerjunkan diri sendiri ke jurang kebinasaan. Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api Neraka tapi kamu sendiri lemparkan dirimu ke dalamnya. Kamu selalu bergelumang dengan perbuatan maksiat dan kesalahan sambil menghimpunkan bergunung dosa untuk diazab di kubur, di akhirat dan di Neraka.
Keenam: Kamu ingin masuk Syurga tetapi kamu tidak beramal untuknya. Kamu selalu berdoa dan impikan Syurga tapi kamu sendiri tidak mempunyai simpanan pahala sebagai imbuhan kepadanya.
Ketujuh: Kamu sedar akan mati tetapi tidak bersiap sedia menghadapinya. Kamu mengaku bahawa Malaikat Maut pasti datang pada bila-bila masa. Kamu juga mengakui dan insaf bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan hidup di akhirat kekal abadi. Namun hakikatnya kamu leka dan asyik dengan kehidupan ini.
Kelapan: Kamu melihat keaiban orang lain, namun keaiban sendiri kamu tidak nampak. Kamu sibuk memikirkan dan menilai saudara-saudaramu, seolah-olah menuding jari kepada orang lain. Tetapi amat jarang menghadapkan telunjuknya kepada dirimu sendiri.
Kesembilan: Kamu mengecap kenikmatan anugerah ALLAH SWT tetapi tidak pernah bersyukur dengan-NYA. Sejak kecil kita menikmati berbilion-bilion kurniaan ILLAHI namun tidak pandai berterima kasih. Malah kadang-kadang membangkang ALLAH SWT dengan menunjukkan sikap sombong, bongkak dan lupa daratan.
Kesepuluh: Kamu menguburkan jenazah kenalanmu tetapi tidak pula menginsafkan diri. Kamu menguburkan orang yang mati tapi kamu sendiri tidak mengambil iktibar dari kematian itu. Kamu turut menghantar jenazah itu sampai ke kubur, tapi malang jarang sekali kamu memikirkan bahawa hari ini kita menghantar orang ke kubur, mungkin esok lusa kita pula akan dihantar orang.
Demikianlah sepuluh sebab mengapa doa seseorang itu tidak diperkenankan ALLAH SWT menurut butir-butir hikmah Ibrahim bin Adham.

No comments:

Post a Comment